Dengki akan mengakibatkan lima perkara:
1- Pemarah.
2- Berdusta.
3- Berdendam.
4- Membunuh.
5- Kufur kepada nikmat Allah.
Sifat dengki adalah sifat yang dimiliki oleh iblis. Manusia pertama yang termakan dengan hasutan iblis di dunia ini ialah Qabil, anak Nabi Adam a.s.
Sifat dengki akan mengakibatkan banyak kerosakan antaranya ialah sifat pemarah yang sangat nyata kepada seseorang kerana ia merasakan kedudukannya terjejas dengan kelebihan yang ada pada orang lain.
Untuk mencalarkan imej seseorang itu ia akan bercakap dusta dan memutarbelitkan segala kelebihan yang ada pada orang yang didengkinya.
Ia juga akan sentiasa berdendam dan ingin melakukan sesuatu untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.
Sekiranya dendam sudah membara ia sanggup membunuh untuk memuaskan nafsunya.
Itulah akibat sekiranya seseorang itu tidak pandai mensyukuri nikmat Allah dan kufur dengan nikmat yang dianugerahi Allah kepadanya.
Oleh itu dengki itu adalah sahabat Qabil dan kekasih iblis.

