Jumaat, 29 Julai 2011

Dengki

Dengki

Dengki akan mengakibatkan lima perkara:
1- Pemarah.
2- Berdusta.
3- Berdendam.
4- Membunuh.
5- Kufur kepada nikmat Allah.

Sifat dengki adalah sifat yang dimiliki oleh iblis. Manusia pertama yang termakan dengan hasutan iblis di dunia ini ialah Qabil, anak Nabi Adam a.s.

Sifat dengki akan mengakibatkan banyak kerosakan antaranya ialah sifat pemarah yang sangat nyata kepada seseorang kerana ia merasakan kedudukannya terjejas dengan kelebihan yang ada pada orang lain.

Untuk mencalarkan imej seseorang itu ia akan bercakap dusta dan memutarbelitkan segala kelebihan yang ada pada orang yang didengkinya.

Ia juga akan sentiasa berdendam dan ingin melakukan sesuatu untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.

Sekiranya dendam sudah membara ia sanggup membunuh untuk memuaskan nafsunya.

Itulah akibat sekiranya seseorang itu tidak pandai mensyukuri nikmat Allah dan kufur dengan nikmat yang dianugerahi Allah kepadanya.

Oleh itu dengki itu adalah sahabat Qabil dan kekasih iblis.

Khamis, 28 Julai 2011

Lengkapnya ilmu

Lengkapnya ilmu

Ilmu seseorang itu akan lengkap dan sempurna sekiranya dia mempraktikan tiga perkara ini:
1. Mempunyai sikap ehsan iaitu takutkan Allah dalam keadaan zahir dan batin.
2. Tidak menyakiti sesiapa pun dengan pertuturannya dan tindakannya.
3. Menjaga makanannya dengan mengamalkan makanan yang halal dan suci.

Sikap ehsan akan menjadikan seseorang itu lebih telus dalam segala tindakannya yang menunjukan bahawa dia seorang yang terpelajar dan cerdik.

Segala tuturkatanya dan tindakannya sentiasa terkawal kerana ilmunya cukup untuk mengenali perasaan orang lain agar tidak tersinggung.

Orang yang berilmu juga tahu bagaimana untuk menjaga kesihatan yang baik dengan pengambilan gizi makanan yang cukup dan menyihatkan agar dengan kesihatan yang ada dia akan lebih beramal dan beribadah untuk Allah, umat manusia dan bekalan akhirat.

Rabu, 27 Julai 2011

Senjata ilmu dan iman

Senjata ilmu dan iman

Usaha membudayakan ilmu adalah usaha yang penting untuk membina generasi cemerlang. Ia merupakan tugas besar yang mesti dilaksanakan oleh setiap mukalaf menurut kadar kemampuan masing-masing. Memandangkan generasi kini sedang menghadapi serangan pemikiran yang amat mencemaskan maka senjata yang paling berkesan untuk menyerang balas ialah dengan persiapan ilmu dan iman yang mantap.

Sering diperkatakan bahawa kemantapan ilmu saja tidak mencukupi melainkan mesti diiringi dengan kekebalan iman yang perlu dipupuk sejak dari kecil lagi. Wujudkan pusat-pusat percambahan ilmu di segenap pelusuk bumi untuk membentuk generasi akan datang supaya mencintai ilmu pengetahuan dalam segenap bidang.


Selasa, 26 Julai 2011

Yang subur dan yang layu

Yang subur dan yang layu

Perbezaan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu seperti tumbuhan yang hijau dan subur dikelilingi oleh tumbuhan yang kering dan layu.

Cuba bayangkan satu kawasan yang kering kontang dan gersang dengan tumbuhan yang layu kekuningan. Ditengah-tengahnya terdapat satu kawasan hijau yang subur dan cantik. Itulah contoh orang yang cerdik dan berilmu pengetahuan akan terselah perwatakannya daripada orang lain.

Berilmu tetapi tidak beriman

Berilmu tetapi tidak beriman

Fenomena keganasan, peperangan, dan pembunuhan sesama manusia yang terjadi di dunia sekarang ini adalah dilakukan oleh orang-orang yang sedang berkuasa, yang berilmu tetapi tidak beriman.

Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak akan melakukan kerosakan dan keganasan di bumi Allah ini kerana takutkan balasan Allah di akhirat nanti. Hanya orang-orang yang berilmu dan beriman sahaja yang takutkan azab Allah.

Jumaat, 22 Julai 2011

Budaya penduduk

Budaya penduduk

Kehormatan sesebuah negara itu adalah kemuliaan dan budaya penduduk mereka yang berilmu pengetahuan.

Kenapa sesebuah negara itu dihormati dan diagung-agungkan?. Kerana negara itu maju dan bertamadun tinggi.

Kenapa negara itu maju dan bertamadun?. Kerana rakyatnya berilmu pengetahuan tinggi dan sentiasa ingin belajar. Pusat-pusat pengajian banyak dibuka dan menggalakan serta makmur.

Khamis, 21 Julai 2011

Ilmu untuk dunia dan akhirat

Ilmu untuk dunia dan akhirat

Orang-orang berilmu yang paling bijak ialah yang dapat memanfaatkan ilmunya untuk kebahagiaan diri, keluarga dan masyarakat dalam erti kata yang lebih luas memberi manfaat untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Hanya ilmu sahaja yang dapat dibawa ke akhirat. Segala ilmu yang kita ada dan dicurahkan kepada masyarakat, selagi masyarakat itu dapat manfaat daripada ilmu yang kita ajar, maka pahalanya akan sampai kepada kita di akhirat nanti.

Rabu, 20 Julai 2011

Hadiah ilmu

Hadiah ilmu

Tiada hadiah yang paling bernilai daripada seseorang kepada seseorang yang lain selain daripada sepatah kata yang baik dan berhikmah iaitu ilmu.

Sepatah kata yang baik yang berbentuk nasihat atau pengajaran sangat bernilai dan kekal selama-lamanya menjadi pedoman hidup bagi seseorang. Ianya tidak akan musnah dan ditelan zaman.

Isnin, 18 Julai 2011

Nasihat merpati

Nasihat merpati

Berkata burung merpati kepada kawan-kawan burungnya yang lain, ”Ayuhlah kita menuntut ilmu dan terus belajar untuk menolong dan memajukan masyarakat kita.”

Ayat ini mengajar dan menggalakan kita supaya sentiasa mengajak dan mendorong masyarakat agar terus belajar dan menuntut ilmu tidak kira kedudukan dan umur seseorang kerana ilmulah yang akan memajukan diri dan masyarakat.

Khamis, 14 Julai 2011

Keindahan ilmu

Keindahan ilmu

Kecantikan itu tidak terletak pada perhiasan yang dipakai tetapi kecantikan itu ialah keindahan ilmu dan adab sopan.

Orang yang berilmu mempunyai perwatakan yang berbeza dengan orang yang tidak berilmu. Tuturkata, adab pergaulan, tingkah laku dan kehidupan seharian dapat dibezakan melalui bidang ilmu yang dipelajarinya.

Kita mesti mempelajari ilmu yang dapat mengindahkan perwatakan kita dan yang dapat menyenangi hati orang disekeliling kita.

Rabu, 13 Julai 2011

Dunia baru

Dunia baru

Pendidikan adalah kunci untuk
menuju ke dunia baru.

Manusia hidup dalam satu kelompok tertentu. Untuk keluar daripada kelompok itu manusia mesti mempunyai ilmu yang lain daripada ilmu yang sedia ada. Dengan ilmu baru yang kita pelajari kita akan menuju ke dunia baru yang lebih luas dan lebih menarik. Belajarlah setinggi-tingginya, anda akan dapati dunia ini tidak sempit sebagaimana yang anda fikirkan.

Jumaat, 8 Julai 2011

Belajar kerana takbur

Belajar kerana takbur

Sesiapa yang belajar hanya kerana takbur dan berlawan-lawan maka ia tidak memperolehi ilmu itu.

Ilmu dipelajari untuk mengangkat darjat seseorang daripada kedudukan yang hina menjadi lebih mulia. Namun sekiranya seseorang itu menuntut ilmu hanya semata-mata untuk dipandang tinggi dan berlagak sombong maka ilmu itu tidak mendatangkan keberkatan kepadanya melainkan hanya mendapat habuan dunia sahaja serta memperlihatkan perwatakan yang menyimpang dari akhlak ilmuan sebenar.

Isnin, 4 Julai 2011

Penjaga dunia

Penjaga dunia

Intelektual dilahirkan untuk menjaga ketenteraman dunia dan memakmurkannya.

Setiap manusia diberikan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Allah memilih segelintir manusia yang berilmu yang digelar intelektual atau ulama. Mereka-mereka ini dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan dunia dan memikirkan idea-idea baru untuk kemakmuran manusia sejagat.